Monday, October 20, 2008

Pohon condong yang tidak mampu menampung kera dan monyet...

DAKWAAN mengatakan Umno terlalu dominan dalam Barisan Nasional dan Umno merupakan kaki buli, selain pelbagai tuntutan dibuat oleh parti-parti komponen, hinggalah mahu memilih Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri secara terus, dibuat oleh rakyat adalah permintaan yang mengambarkan 'ugutan'.
Iklan
Ketika Umno masih terus bergolak dengan isu dalaman, selain persaingan yang boleh meruntuhkan parti, rakan-rakan dalam komponen BN kini, semakin berani malah, tidak langsung ada perasaan menghormati dan menjaga hati rakan-rakan lain, khususnya orang Melayu di dalam Umno.
Secara kebetulan, hanya Umno sahaja parti tunggal Melayu berada di dalam BN. Sedangkan 12 lagi yang lain (dulunya ada 13, tetapi SAPP sudah keluar), menyebabkan mereka merasakan mereka lebih berhak menjadi �dominan� daripada Umno.
Umno kini, bolehlah dianggap sebatang pohon yang sudah condong. Bukan sahaja monyet dan kera akan melompat ke pohon lain, malahan binatang yang merayap seperti kura-kura pun sedang cuba memanjatnya.
Pertelingkahan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan berpanjangan.
Perjuangan Dr Mahathir kini hanya satu, mahu melihat Abdullah meninggalkan kerusi Perdana Menteri dan Presiden Umno, manakala Abdullah pula, melepaskan bom asapnya di Kota Kinabalu, membidas Dr Mahathir yang dilihatnya cuba mengatur pertandingan dalam Umno.
Ketika ini, hanya seorang dua sahaja 'rakan-rakan sepasukan' Abdullah yang menyokong bidasan Abdullah terhadap Dr Mahathir, tetapi yang lain-lain, menyorokkan kepala, seperti seekor kura-kura berdepan dengan bahaya.
Kenapa jadi begini? Kenapa masing-masing tidak mahu 'menyokong' boss mereka? Ada pendapat mengatakan, ketika Abdullah berada di penghujung kariernya, jika sesiapa yang masih dilihat bersama-samanya, bakal dihukum dalam pemilihan parti nanti.
"Saya tidak mahu jadi Habibie di Indonesia yang dikaitkan dengan Soeharto," kata seorang timbalan menteri yang dihubungi.
Banyak pihak mendakwa, sesiapa yang dilihat 'bersekongkol' dengan Abdullah sekarang, bakal terhukum apabila Dato' Seri Najib Tun Razak berkuasa nanti. Walaupun Najib dikatakan tidak begitu 'garang', tetapi regunya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dilihat bakal menjadi 'guru disiplin' yang akan menghukum seseorang.
Tataplah akhbar harian, tengok dan teliti kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan mereka kononnya untuk menyokong Abdullah, terlalu lembut dan berhati-hati. Bukan kerana mereka takut kepada Dr Mahathir tetapi kerana mereka takut dicop sebagai orang Abdullah, yang menyebabkan mereka kehilangan sokongan.
Begitulah Umno dan begitulah BN sebenarnya. Ketika Ong Ka Ting mahu melangkah keluar dari kepimpinan MCA, adiknya Ong Ka Chuan yang merupakan Setiausaha Agung MCA tewas dalam usaha merebut jawatan Timbalan Presiden.
Jika nasib tidak baik, secara tradisinya, Ka Chuan mungkin digugurkan dari kabinet kerana kebiasannya MCA meletakkan Presiden, Timbalan Presiden dan dua dari empat Naib Presiden di kerusi Menteri.
Jangan sesiapa terkejut, jika secara tiba-tiba Khairy Jamaluddin yang dikatakan boleh menang mudah sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno, tiba-tiba terkial-kial keseorangan untuk mencukupkan pencalonan bagi melayakkannya bertanding jawatan itu, yang kini sudah masuk minggu ketiga.
Kerana apa? Kerana Abdullah yang juga bapa mentua Khairy sudah dianggap 'menuju jalan keluar' dari kepimpinan Umno.
Hari ini, jangan terkejut jika Abdullah ke luar negara, sudah tiada orang-orang Umno yang berduyun-duyun menghantarnya di lapangan terbang, begitu juga sekembalinya dari luar negara, akan sunyilah terminal itu kerana orang-orang Umno hanya berpegang kepada 'di mana ada gula, di situ ada semut'. Abdullah dianggap pemimpin yang sudah tawar dan tidak bergula lagi.
Berbeza dengan Najib, ketika dia seperti terbitnya fajar dan menjanjikan sinar matahari di awal pagi, akan sentiasa dikerumuni, sepertilah gambaran yang mengatakan hampir 30,000 berada di majlis Jamuan Hari Rayanya di Pekan, Pahang baru-baru ini.
Jika orang-orang Umno masih ingat, begitulah nasib yang menimpa Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan Hussein Onn.
Dr Mahathir juga pernah merasakan bagaimana kehadiran menyambutnya pulang dari luar negara, tiba-tiba jumlahnya terlalu ramai, yang mengejutkan banyak orang.
Rupa-rupanya di tempat yang sama, Abdullah yang bakal menggantikannya mahu berangkat ke luar Negara, dengan perbezaan waktu yang singkat.
Mereka datang beramai-ramai untuk menghantar Abdullah dan bukan menyambut ketibaan Dr Mahathir.
Tetapi disebabkan sudah terserempak di situ, masing-masing bersalaman tetapi fokus mereka yang datang tetap kepada Abdullah dan bukan Mahathir.
Situasi begini, pernah dirasai Abdullah bila terserempak dengan kehadiran ramai orang di TUDM Subang sekembalinya beliau dari Pulau Pinang, tetapi bukan kehadiran itu untuk menyambutnya pulang dari Pulau Pinang, sebaliknya menunggu Najib yang akan sampai dari luar negara.
Bukan sedikit yang melarikan diri dari Abdullah, malah, ada yang sempat bersembunyi di dalam tandas lapangan terbang itu, kerana mereka ini tidak pernah menghantar Abdullah dan tidak pernah ketinggalan menghantar Najib, jika Abdullah dan Najib berangkat ke luar negara.
Tengoklah nanti, ketika serangan dan ugutan datang bertubi-tubi dari parti-parti komponen BN, rakan-rakan penjawat pelbagai jawatan penting yang diberikan Abdullah dalam parti dan kerajaan akan mengambil sikap 'membisu'.
Bagi mereka, mereka akan membuat komen ketika Najib menjadi Presiden Umno, Pengerusi BN dan Perdana Menteri, kerana ketika itu, semua komen akan mendapat 'markah' dari Najib.
Malah, ada yang tidak segan silu berkata; "Kalau Najib jadi Pengerusi BN, dah boleh selesai ni," yang menunjukkan bahawa mereka menganggap Abdullah lemah dan sentiasa dibuli oleh rakan-rakan komponen. Bukan sekali mereka mengugut, malahan berulang-ulang kali.
ISA misalannya, bukan sahaja ditentang parti-parti pembangkang, malahan kini sudah menjadi bahan perjuangan parti-parti komponen BN, seperti PPP, Gerakan dan kini MCA.
Bagi mereka, ISA perlu dikaji semula tetapi, hakikat sebenarnya, mereka berperasaan sama dengan apa yang diperjuangkan pembangkang!
Cuma, tidaklah sampai mereka sanggup meninggalkan BN kerana mereka percaya, masih ada 'gula' yang perlu semut hurungi.
Satu sumber memberitahu, jika bukan kerana hubungan terlalu rapat antara Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dengan Abdullah, Gerakan dipercayai sudah meninggalkan BN sebaik sahaja isu Dato' Ahmad Ismail dengan gambar Tsu Koon heboh diperkatakan dahulu.
Tidak pula diketahui, sejauh mana 'kesetiaan' Gerakan dapat dipertahankan sebaik sahaja Najib menggantikan Abdullah.
Satu perkara yang tidak ramai mengetahuinya, keputusan Abdullah tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno dan sanggup menyerahkan kuasa kepada Najib, Mac 2009 kerana tertekan dengan tindakan SAPP, meninggalkan BN.
Satu sumber memberitahu, jika ini merupakan 'perancangan seseorang' untuk memberi tekanan kepada Abdullah, tunggulah, apakah SAPP akan kembali semula menjadi komponen BN, apabila Abdullah sudah tiada nanti.
Ada juga yang berpendapat, tindakan SAPP itu, ada kena mengena dengan keinginan Dr Mahathir yang menyeru penyokong Umno supaya meninggalkan Umno seperti yang dilakukannya dan kembali semula kepada Umno apabila Abdullah sudah tidak menjadi Presiden. - mr_

No comments: